Tuesday, August 19, 2008

aziz the ultimate

MINDA MUFTI: Islam Itu Matlamat, Bukan Alat25-05-2008 12:15:05 PM
Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya menerusi kepatuhan kepada titah perintahNya dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau ‘apa orang kata’ atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan.
Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau meng’halal’kan kesalahan kita.
Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengauh atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka.
Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik.
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah..
Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am’am: 161-164).
Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.
Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelamahan dan kesilapan dalam hidup ini.
Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan.
Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya.
Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah.

No comments: