Monday, August 25, 2008

LARANGAN MENGUMPAT

Hukum haram mengumpat bukan hanya terbatas kepada orang yang mengumpat sahaja. Orang yang mendengar atau menyetujui apa yang diumpatkan juga adalah haram hukumnya. Orang yang mendengar seseorang yang mengumpat, wajiblah bagi yang mendengar itu mencegah perkara tersebut jika dia tidak merasa takut terancam olehnya. Jika dia tidak mampu untuk mencegahnya, maka wajib dia mengingkarinya dengan hatinya dan menjauhi atau meninggalkan tempat itu jika dia boleh berbuat begitu. Jika dia mampu menegur dengan kata nasihat atau dapat mengalihkan percakapan tersebut kepada hal-hal yang lain, maka wajiblah dia melakukan perkara itu. Jika dia tidak melakukannya, dia juga turut berdosa.
Apabila seseorang berada di dalam suatu majlis yang sedang berlaku di dalamnya ghibah (umpat) dan dia tidak mampu mencegahnya atau dia sudah cuba mencegahnya, tetapi tidak dihiraukan oleh orang-orang yang berada di majlis itu dan tidak ada jalan baginya untuk meninggalkan majlis tersebut, maka untuknya beberapa jalan keluar. Hendaklah dia berzikir kepada Allah Ta‘ala dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya sahaja atau hendaklah dia berfikir pada perkara lain bagi memalingkan dirinya dari mendengar
ghibah yang ada di majlis itu. Dengan demikian tidaklah ada apa-apa (dosa) setelah itu jika dia terdengar percakapan ghibah itu. Jika ada peluang baginya untuk meninggalkan majlis tersebut sesudah itu, maka wajib dia meninggalkan tempat itu selagi mereka tetap melakukan ghibah (umpat). Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al- An‘am ayat 68 yang tafsirnya :
"Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim isesudah engkau teringat (akan larangan itu)."
Yang terlebih baik bagi seorang Islam itu apabila dia mendengar seseorang mengumpat orang Islam yang lain lebih-lebih lagi orang yang diumpat itu orang yang mempunyai nama baik dan tergolong di kalangan orang baik-baik, maka seharusnya dia melarang perkara tersebut demi mempertahankan kehormatan orang itu. Apabila di akhirat nanti, Allah Ta‘ala pula akan mempertahankan dirinya daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa menolak (melarang) dari (diumpat) kehormatan peribadi saudaranya, nescaya Allah akan menolak (memalingkan) api neraka daripada dirinya kelak di Hari Kiamat."
(Hadits riwayat Tirmidzi)
Manakala daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Thalhah bin Sahl Al-Anshari Radhiallahu ‘anhum, keduanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
"Tidak ada seorang yang menghina seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menghinakannya di tempat di mana dia ingin mendapat pertolongan-Nya. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menolongnya di tempat di mana dia sangat mengharapkan pertolongan-Nya.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Apabila seseorang telah terlanjur melakukan ghibah (umpat) kepada saudaranya, maka dituntut dengan segera agar dia bertaubat dari dosa itu. Taubat kerana perlanggaran hak Allah (yang wajib dilaksanakan oleh hamba-Nya) adalah dengan tiga syarat iaitu:
1. Menarik diri dari melakukan maksiat ketika itu juga
2. Menyesal dari perbuatan dosa itu
3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu
Oleh kerana maksiat ghibah ini menyangkut dengan hak orang lain maka selain tiga syarat di atas ditambah lagi dengan syarat yang keempat iaitu:
4. Mengembalikan sesuatu yang diambilnya secara tidak sah kepada pemiliknya atau meminta maaf dari kesalahannya itu dan memohon supaya dibebaskan dari tuntutan sesuatu itu.

No comments: