Thursday, June 16, 2011

MENJANGKAU UMUR 40 AN

ANGKA 40... terutama untuk wanita yang diusia 30an bersedia lah

terutama untuk wanita yang diusia 30an bersedia lah apatah lagi yang dah diusia 40an JJJJJJ
ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan
wanita. Bagi lelaki usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup
baru, semangat baru, semakin matang. Bagi wanita usia 40
dikaitkan dengan perkara-perkara negatif, dan selalu dikaitkan
dengan musim saham mula menurun.
Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk
memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang
betul di depan mata. Satu hakikat perihal Adam dan Hawa.
Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada
beza antara lelaki can perempuan, saya tetap berasa ada
perbezaan yang jelas. Ini bukan soal fizikal - yang memang
jelas ada bezanya - tetapi ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha
dan Leman tidak serupa.
Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza. Dari segi tahap kematangan
semua orang mengakui perempuan lebih cepat dewasa berbanding
lelaki. Anak perempuan baligh lebih awal dari lelaki. Ada gadis
yang mula haid seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki
yang sudah masuk usia 17 belum ada apa-apa.
Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh
melihat hal yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah
boleh diharap mengemas bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk,
membancuh susu adik. Anak lelaki sudah tingkatan tiga pun masih
tidak tahu apa-apa.
Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki bermula
pada usia 40 tahun. Konon, pada usia ini lelaki menjadi lebih
matang, tepat membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih
penyayang, lebih prihatin, lebih itu, lebih ini.
Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia
40 inilah degree kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat!
Miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi istilah-istilah
(maaf, sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran
kurang sopan) yang seerti dengannya untuk menggambarkan
perangai lelaki setelah melewati usia empat puluhan.
Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk
menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang
paling biasa: suami mula menjeling wanita lain, suami mula main
kayu tiga, suami kahwin baru.
Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat saya
andaian seperti itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil.
Sebab, bilangan suami yang main kayu tiga, atau membuka
'cawangan' baru adalah kecil, terlalu kecil. Mungkin yang
jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi percayalah jelingan itu
tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami
menjeling wanita lain.
Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40,
wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin'
dalam banyak hal. Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai
wanita, sebab itu mereka tidak suka usia empat puluhan disebut.
Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada
lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan
kematangan can kehebatan, bagi perempuan, usia tersebut sering
digambarkan sebagai peringkat saham menurun.
Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda 'keriangan'
luar biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main
mata dengan orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku
motivasi suami-isteri, tetapi boleh dicuba.
Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan
kata-kata yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang
sekarang tebal semacam, kita tengok pun geram!" Atau: "Abang
sejak minum kopi herba tu, kita rasa luar biasa!"
Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami
merasa dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut
buktikan dengan perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai,
tetapi di bilik tidur isteri rebah dan tidur macam tunggul,
pujian tentang misai itu tidak bererti langsung.
Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya
di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun
menghiraukan perasaan suami yang seperti gelora tsunami.
Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang
sudah beranak ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid,
tetapi mula tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin.
Mungkin sebab kesibukan di pejabat, atau letih melayan
anak-anak sepanjang hari di rumah, isteri menjadi pasif di
katil. Letak sahaja kepala di bantal, terus berdengkur.
Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak
melakukan reaksi-reaksi hangat semasa berdua di kamar tidur.
Mungkin boleh cuba urutan cakar harimau yang popular itu.
Sambil mencakar boleh bergurau senda, dan puji-puji tentang
misai.
Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih menjadi
segar semula. Pasti suami akan membalas dengan cakaran kucing
jantan.
Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu
harimau akan mengaum.
Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam,
takut tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya,
suami berasa kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan
kambing gurun hingga isteri terpelanting bawah katil!
Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia
40-45, masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona.
Memanglah tidak 'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi
‘trang-tang-tang' . Tetapi sekiranya bijak mendandan diri,
suami pasti tidak menjeling pada orang lain.
Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri
rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan soal keterampilan diri.
Tidaklah selekeh, tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak
disisir, menggerbang macam langsuir atau penunggu pohon
beringin dalam Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir
berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam.
Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan
t-shirt Pagoda leher bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini
sudah menjadi uniform tidak rasmi suri rumah yang tidak
berseni. Sesetengahnya langsung tidak berbaju, hanya berkemban.
Sudahlah berkemban, nampak bulu ketiak keriting, betul-betul
macam ibu si Tenggang.
Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami
setiap hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah
menjeling wanita lain. Jika hari-hari melihat puntianak atau
ibu si Tenggang, suami pun berasa muak juga. Suami pun hendak
melihat benda-benda indah.
Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun
kebanyakan suami tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan
isteri menyambutnya dengan pakaian berjenama antarabangsa, atau
jari lentik dengan kuku berwarna, bibir merah dan basah
berkilat, rambut ikal mayang teknik rebonding, alis lentik
bagai penari Mak Yong.
Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan
seorang isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan
lentuk sangat, suami naik lemas pula. Rambut perlu disisir
kemas, pada hari-hari tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh
letak bunga ros di kepala. Tetapi, jangan pula terlebih hingga
pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat isteri sudah
sewel.
Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak
jual capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama,
bedak biasa pun boleh, asalkan disapu dengan kemas. Jangan
asyik lumur dengan bedak beras sejuk sehingga wajah kelihatan
seperti wayang China purba!
Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman.
Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Kalau
tidak ada pewangi pun gunakanlah haruman ash dari bunga
cempaka, melur, kenanga atau lain-lain bunga wangi.
Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari,
sambal belacan, budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak
melekat di tubuh. Amaran: jangan sekali-sekali ada bau semburan
ubat lipas atau kapur barus pada tubuh. Mati selera suami.
Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum
paling manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat,
orang lelaki dapat membaca antara senyuman ikhlas dan senyum
palsu. Tetapi, jangan tersengih tidak tentu pasal, nanti suami
ingat isteri tersampuk puntianak sundal malam.
Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami
sebaik masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak.
Memadailah isteri menegur: "Abang nampak letih, boleh kita
ambilkan air? Abang nak air sejuk atau air panas?"
Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin
mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia
kata abang dah tiga bulan tak bayar ansuran kereta, betul ke?"
Atau: "Orang sebelah tu beli TV 29 inci, boleh tak kita beli
yang 36 inci?"
Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik
tidur adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti
selalu kemas dan menarik. Semburkan haruman supaya semerbak
sepanjang malam. Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas
tilam. Barulah bersemangat untuk cakaran harimau atau cakaran
kucing.
Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau
haruman di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak
ada bau minyak wangi, seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa
yang memenuhi bilik tidur sekarang hanyalah bau minyak angin.
Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil
ada minyak lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang,
atas tilam ada minyak pening kepala, bawah katil pun ada minyak
semput.
Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di
kamar tidur tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami
tersumbat bau minyak angin, matilah seleranya untuk mencakar.
Ini yang isteri kena faham.

No comments: